Saturday, October 18, 2014

10 Sen Pun Mau Kira ka?

Pada pertengahan tahun 1990, saya menjalani latihan praktikal mengajar di SJKT St.Theresa, Sungai Petani, Kedah. Saya tinggal bersama seorang rakan, Cikgu Zakirudin atau timangannya Zack yang juga menjalani praktikal mengajar di SM St. Theresa, berhampiran sekolah tempat saya menjalani praktikal. Kami menyewa rumah di Taman Melati, Jalan Sugai Layar, Sungai Petani, Kedah.

Suatu hari setelah makan tengahari, saya dan Zack bersantai sambil berbual di hadapan rumah sewa kami. Kami memerhati seorang kelaki India pemabuk lagi berkelakuan tidak siuman sedang sibuk mengawal lalu-lintas di simpang jalan di hadapan rumah sewa kami. Lelaki itu meniup wisel sambil menahan kenderaan yang  lalu-lalang seolah-olah seorang anggota polis trafik sedang mengawal lalu-lintas.

"Aku panggil uncle India tu, kita interview dia, engkau rakam dengan mini kompo," kataku memberi cadangan.

Zack bangun sambil tersengih lalu masuk ke dalam untuk mengambil mini kompo yang kebetulan baru dibelinya untuk kegunaan sebagai alat bantu mengajar di sekolah.

Di muka pintu pagar rumah, saya melambai dan menggamit memanggil lelaki India itu.
"Uncle, marilah sini rehat dulu. Hari panas ni. Marilah duduk sini cerita-cerita..." laung saya kepada lelaki India itu.

Lelaki India itu tersenyum sambil melintas jalan raya menuju ke arah kami. Dia menghampiri kami lalu duduk bertinggung di hadapan kami. Dia tersenyum dan bertanyakan nama kami ramah dan begitu mesra. Dia bertanyakan pekerjaan kami.

" Masih belajar, uncle. Guru pelatih sedang buat praktikal." jelas saya.

"Ooo...bakal cikgu la. Cantiklah, boleh la saya test lu orang sikit," kata lelaki tua itu.

"Mau test apa uncle?" tanya Zack sambil tersengih merenung orang tua itu.

"Saya mau test lu orang matematik. Lu mesti ada belajar matematik kan?" kata orang tua itu.

"Boleh...boleh..." kata Zack mula mesra.

"Okay, ada satu orang bapa tinggalkan wasiat seekor kambing untuk tiga orang anaknya. Dia pesan suruh bahagi itu kambing kepada ketiga-tiga orang anaknya sama rata. Macamana dia orang mau bahagi satu ekor kambing itu kepada 3 beradik sama rata?" Orang tua itu mengemukakan soalan sambil mengangkat kening beberapa kali dan tersengih memandang kami.

Saya dan Zack memberi pelbagai cadangan untuk meyelesaikan masalah pembahagian kambing itu namun tidak satu pun dipersetujui orang tua itu.

"Tak taulah uncle... macamana mau buat?" Zack mengalah.

"Ini macam, apa susah, itu kambing kasi juallah. Duit kasi bahagilah 3 beradik sama rata. Contohnya, jual itu kambing dapat 100 ringgit. Bahagilah 3 orang sama rata," kata orang tua itu tenang.

" 100 ringgit macamana mau bahagi 3 orang sama rata?" saya cuba menduga.

"Bahagilah 30 ringgit seorang dahulu, 3 orang habis 90 ringgit, ada lagi 10 ringgit baki. Itu baki 10 ringgit, bahagilah 3 ringgit seorang, ada baki lagi 1 ringgit. Itu 1 ringgit bahagi 3 orang dapat seorang 30 sen, tinggal baki 10 sen... selesailah." Jelas orang tua itu bersungguh-sungguh.

"Itu baki 10 sen, macamana mau kira?" Zack bersuara tidak puas hati.

"Ciiiit, adik beradik apa ni, 10 sen pun mau kira ka?!" sergah orang tua itu lalu ketawa berdekah-dekah sambil bangun dan belalu kembali ke jalan raya meniup wisel mengawal lalu lintas...

No comments:

Post a Comment