Friday, October 17, 2014

Ayahku dan Tembikai

Menjelang suatu cuti penggal persekolahan, saya bercuti di kampung. Suatu pagi, ketika saya bersantai di ruang tengah berhampiran dapur rumah, tiba-tiba terdengar laungan dari laman rumah.
"Hello tauke... hello tauke ..." kedengaran suara seorang nyonya.
"Cuba hang pi tengok, apa ndak nyonya tu?" ayah bersuara dari dapur.
Saya keluar ke laman. Tercegat di situ seorang nyonya menuntun basikal dengan 2 biji tembikai dalam raga basikalnya.
"Tauke, mau ka tembikai ?" tanya nyonya itu.
"Apa ndak nyonya tu?" laung ayah lagi dari dapur.
"Nyonya ni nak jual tembikai, ayah. Tembikai ni tak masak ni ayah." saya bersuara agak kurang puas hati kerana melihat tembikai yang dibawa nyonya itu berupa buah penghujung dan tidak masak. Saya begitu pasti kerana saya memang berpengalaman memborong dan menjual tembikai.
"Beli !" suara ayah bagai satu perintah.
Saya pun membeli dua biji tembikai itu dengan harga RM5.00. Saya membawa dua biji tembikai itu ke dapur. Saya terus mencapai pisau.
"Tak masak tembikai ni ayah." saya membantah sambil membelah kedua-dua biji tembikai itu.
"Tengok ni, kan tak masak tembikai ni." kata saya sambil menunjukkan tembikai yang masih merah jambu isinya kepada ayah.
"Tak apa, bagi mak hang buat kerabu." kata ayah tenang.
Selepas makan malam malam itu, ayah duduk dihadapan saya di ruang tengah.
"Hang tau dak, nyonya tu tadi betul-betul sesak dan perlukan duit. Kalau tidak takkanlah dia kayuh gerek (basikal) punya jauh semata-mata nak jual dua biji tembikai. Orang tu mengharap sangat tu." kata ayah sambil menghembus asap rokok daun nipahnya.
"Tak baik hampakan harapan orang," sambung ayah menasihatiku.
Begitulah antara didikan ayah terhadapku agar menjadi manusia mulia.

No comments:

Post a Comment