Suatu hari seorang remaja berusia sekitar 13 tahun mengambil keputusan untuk lari dari rumah. Dia meninggalkan rumah dan ibu bapanya. Dia berjalan membawa diri hingga sampai ke sebuah pekan. Dalam keadaan letih dan kelaparan, dia duduk di hadapan sebuah gudang tepung.
Saudagar tepung pemilik gudang tepung itu kebetulan baharu sahaja menutup gudangnya kerana hendak pulang memandangkan hari sudah menjelang senja. Saudagar tepung itu ternampak remaja itu dan tertarik hati untuk mengetahui perihal remaja tersebut.
"Mengapa kamu duduk bermenung di sini? Kamu hendak ke mana sebenarnya?" tanya saudagar tepung itu.
"Saya tidak tahu ke mana hendak pergi. Saya melarikan diri dari rumah kerana sudah tidak tahan dileteri ibu bapa saya. Saya sudah bosan disuruh bekerja di ladang dan membuat pelbagai kerja di rumah..." remaja itu meluahkan perasaannya.
"Apakah kamu sudah makan ?" pintas saudagar tepung.
Remaja itu menggeleng kepalanya perlahan.
"Mahukah kamu singgah ke rumahku?" pelawa saudagar itu.
Remaja itu mengangguk-nganggukkan kepalanya lalu bangun mengekori saudagar itu ke rumah agamnya.
Setiba mereka di rumah saudagar itu, beliau menyuruh remaja itu mandi dan diperintahkan pembantu rumahnya memberikan remaja itu pakaian salin. Beliau juga mengarahkan pembantu rumahnya menyediakan semangkuk bubur tepung dan teh.
Selesai remaja itu mandi dan menukar pakaian, saudagar itu menjemput remaja itu minum dan makan bubur tepung yang terhidang di meja makan.
Setelah remaja itu selesai makan, saudagar bertanya kepada remaja itu, "Mahukah kamu tinggal denganku dan menjadi anakku?"
"Sudah tentu saya mahu. Saya berjanji akan menjadi anak yang baik," kata remaja itu gembira dan bersemangat sekali.
"Mengapa kamu mahu tinggal dengan aku dan sanggup pula menjadi anakku?" tanya saudagar itu.
"Pakcik ni baik, bagi saya makan dan minum ..." jawab remaja itu.
"Ibu bapa kamu telah memelihara kamu sedari kecil dan memberi kamu makan minum hingga sebesar ini pun kamu sanggup tinggalkan. Bagaimana kamu boleh menjadi anak yang baik kepadaku hanya kerana semangkuk bubur gandum dan secawan teh ?!" tempelak saudagar itu.
"Usahlah kamu kenang semangkuk bubur tepung yang aku berikan padamu sedang bubur tepung itu tidaklah seberapa nilainya bagiku seorang saudagar tepung. Kenanglah jasa ibu bapamu yang memelihara kamu dan membesarkan kamu dengan penuh susah payah hingga sebesar ini!" nasihat saudagar tepung.
No comments:
Post a Comment